KUALA LUMPUR, 27 Oktober - ASEAN dan Korea Selatan berpotensi membentuk satu ekosistem yang memacu peluang baharu, memupuk pertumbuhan inklusif serta memperkukuh pasaran terbuka.
Ini boleh direalisasi melalui gabungan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan ekonomi Korea.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan antara blok serantau ini dan republik itu yang terjalin selama lebih tiga dekad dibina berasaskan kepercayaan yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
"Meskipun berdepan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan yang terpecah-pecah, ASEAN dan Korea menonjol sebagai negara yang menunjukkan kemajuan boleh dan perlu diperkukuh melalui kerjasama dan kolaborasi," katanya pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 di ibu negara.
Menurutnya, nilai perdagangan antara ASEAN dan Korea pada 2024 melebihi AS$200 bilion, mencerminkan kekuatan serta daya tahan hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak.
“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan Korea, kita boleh membentuk ekosistem yang mewujudkan peluang baharu, sekali gus memupuk pertumbuhan inklusif, pasaran terbuka dan rantaian bekalan yang stabil,” katanya
Sidang kemuncak itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung dan turut dihadiri oleh pemimpin negara anggota ASEAN lain.