KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Brazil berhasrat meningkatkan potensi perdagangan dengan Malaysia serta menggesa komuniti perniagaan kedua-dua negara memperdalam kerjasama bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi dua hala.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menegaskan sektor swasta memainkan peranan utama dalam memacu hubungan dagangan antara kedua-dua negara.
“Ahli perniagaan merupakan pihak yang tahu bagaimana berunding dan mempunyai kepakaran masing-masing. Peranan kerajaan pula adalah memastikan kami membawa delegasi usahawan untuk membuka lebih banyak peluang,” katanya dalam sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.
Lula da Silva berkata dagangan antara Brazil dan Malaysia serta rakan utama seperti Indonesia kini dianggarkan sekitar AS$12 bilion, namun jumlah itu masih kecil berbanding potensi sebenar kedua-dua ekonomi.
Beliau menggesa pemimpin korporat dan pegawai kerajaan Brazil agar lebih agresif memperluas kehadiran di rantau Asia serta mempromosikan keupayaan industri negara itu.
Pada 2024, Brazil muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM20.36 bilion (US$4.46 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Brazil meliputi produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah serta farmaseutikal halal, manakala import dari Brazil terdiri daripada bijih, makanan diproses dan produk petroleum.
Brazil kini merupakan rakan dialog sektoral ASEAN sejak 2022, dan dagangan antara Brazil dengan ASEAN meningkat lebih 16 kali ganda dalam tempoh 25 tahun, mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua pihak.