KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok ekonomi BRICS.
- Presiden Brazil Lula da Silva sokong penuh Malaysia jadi anggota penuh BRICS.
- Brazil anggap Malaysia rakan serasi berkongsi nilai dan potensi ekonomi kukuh.
- Lula ajak sektor awam dan korporat Brazil aktif teroka peluang perdagangan dengan Malaysia.
- Perdagangan Brasil-Malaysia-Indonesia sekitar AS$12 bilion, masih rendah berbanding potensi.
- Brazil mahu luaskan kehadiran di pasaran Asia Tenggara melalui pelaburan dan perdagangan.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai rakan serasi yang berkongsi nilai dan potensi ekonomi yang kukuh.
“Malaysia akan mendapat sokongan Brazil untuk menjadi anggota penuh BRICS,” katanya dalam sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pada 24 Oktober 2024, Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara rakan BRICS, blok ekonomi yang merangkumi hampir satu perlima perdagangan global dan dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Lula da Silva turut menyeru kerajaan dan sektor korporat Brazil agar lebih aktif meneroka peluang perdagangan dan pelaburan bersama Malaysia, selain memperluas kehadiran di pasaran Asia Tenggara.
Beliau berkata perdagangan antara Brazil dan Malaysia serta Indonesia kini berjumlah sekitar AS$12 bilion, namun angka itu masih rendah berbanding potensi sebenar ekonomi negara-negara berkenaan.
“Daripada hanya duduk di dalam negara, para usahawan dan menteri perlu mengembara ke seluruh dunia untuk memasarkan apa yang mampu ditawarkan oleh Brazil,” katanya.