fb fb fb fb fb

KPKT perkukuh penguatkuasaan tangani pemaju culas, lindung pembeli

Foto PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkukuh tindakan penguatkuasaan dalam menangani pemaju culas yang menyebabkan projek terbengkalai termasuk menyenarai hitam pemaju perumahan dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.

Menurut Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu, ke arah itu KPKT ketika ini sedang menyemak semula Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

"KPKT sedang memperhalusi Akta 118 untuk memperkukuh tindakan lebih baik yang boleh dilakukan termasuk menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi pemaju atau Ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang telah disenarai hitamkan.

"Selepas disenarai hitamkan, pihak tersebut akan disekat daripada memohon lesen pemajuan baharu dan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) sedia ada akan dibekukan,” ujar beliau yang menegaskan langkah berkenaan juga bertujuan melindungi kepentingan pembeli rumah.

Beliau ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi turut memaklumkan beberapa inisiatif dilaksanakan bagi meringankan beban pembeli termasuk mengadakan fasilitasi melalui mesyuarat penyelarasan.

"Fasilitasi ini melalui mesyuarat penyelarasan antara pihak pemaju, pemaju penyelamat, penyelesai serta bank pembiaya bagi mencari penyelesaian pembeli,” ujarnya.

Setakat 30 September lepas, sebanyak 107 projek meliputi 29,587 unit rumah dan 15,553 pembeli projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan.

Selangor mencatatkan projek terbengkalai tertinggi dengan 41 projek, disusuli Kelantan (16) dan Terengganu (13).

Bagi tempoh Disember 2022 hingga September tahun ini pula, KPKT berjaya memulihkan kira-kira 26 projek terbengkalai di seluruh negara.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN