fb fb fb fb fb

Gangguan air P.Pinang: Dua injap LRA Sungai Dua siap diganti

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

BATU MAUNG, 10 Januari- Dua unit injap berdiameter 1.2 meter yang rosak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, telah siap diganti sekitar pukul 4.00 petang tadi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kerja-kerja penyelenggaraan sampingan di 19 daripada 22 lokasi lain di seluruh Pulau Pinang juga telah selesai.

Menurutnya, baki tiga lagi lokasi sedang dalam proses pembaikan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, jelas beliau, pihaknya amat berpuas hati dengan kemajuan gerak kerja oleh pasukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), malah ia telah disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

"Jadi kita jangkakan sekiranya semua berjalan lancar, penerima yang pertama boleh terima air pada malam atau pagi 11 Januari.

"Ia membabitkan sebahagian kawasan di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Begitu juga sebahagian pengguna di George Town dan diikuti lokasi lain mengikut peringkat pemulihan sehingga 14 Januari," katanya kepada media selepas mengadakan Lawatan Khas ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung.

Beliau turut menjelaskan kebocoran pada paip bawah air 1.35 sentimeter di Sungai Perai, yang berlaku selepas PBAPP menutup bekalan air pagi tadi telah pun diatasi dan pemulihan air akan tetap dilakukan mengikut jadual.

ROSLINA BINTI DIN