BATU MAUNG, 10 Januari- Pemberitahuan awal dari Kerajaan Negeri berkenaan gangguan air berjadual di Pulau Pinang membolehkan penduduk membuat persiapan rapi untuk menghadapi masalah tersebut.
Rata-rata penduduk di sekitar Bayan Baru memberitahu persiapan yang dilakukan beberapa minggu lebih awal dari tarikh gangguan membantu mereka bersedia dan kurang terkesan dengan gangguan air tersebut.
Selain itu, penempatan tangki fleksi di lokasi-lokasi terjejas terutama di kawasan pangsapuri memudahkan penduduk untuk mendapatkan bekalan air.
Penduduk Desa Wangsa, Ibrahim Jamhari, 39, berkata bekalan air dalam tangki tersebut akan ditambah mengikut jadual iaitu sebanyak dua kali sehari.
"Kita ada jadual, sehari dua kali akan ditambah bermula esok. Insya-Allah mencukupi. Tangki ada banyak, bukan di sini sahaja. Di kawasan Permatang ada lagi," katanya ketika ditemui RTM di Pangsapuri Desa Wangsa.
Selain tangki fleksi, setiap blok rumah di kawasan terjejas juga disediakan dengan tong air statik untuk kegunaan penduduk.
Seorang lagi penduduk Pangsapuri Desa Wangsa, Ameer Asward Omar, 34, memberitahu persediaan awal telah dilakukannya dan percaya bekalan yang disediakan cukup sehingga 14 Januari ini.
"Persediaan kalau ikut kita, kita dimaklumkan oleh kerajaan dan kita telah sedia banyak jugalah untuk boleh menampung untuk hari pertama dan insya-Allah untuk hari kedua ADUN dalam parlimen menyediakan kita tangki fleksi dan terdapat lebih lima, enam tong di setiap blok, cukup sehingga masalah ini selesai," ujarnya.
Terdahulu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula pukul 6.00 pagi tadi hingga pukul 6.00 pagi 14 Januari.
Ia bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.