PUTRAJAYA, 10 Januari- Maklumat berkenaan permohonan untuk menghalang tayangan dokumentari 'Man on the Run' melalui platform penstriman di negara ini belum diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau difahamkan permohonan itu telah dibangkitkan di mahkamah oleh peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Sekiranya kami menerima berhubung perkara itu, kita akan melalui proses. Tetapi buat masa ini belum terima," katanya dalam sidang media di sini.
Pada 8 Januari lepas, Najib melalui peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menggesa Kerajaan Malaysia agar mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix mengeluarkan tayangan 'Man on the Run' dalam negara.
Menurut Muhammad Shafee dokumentari berdurasi 1 jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya.
Perkara itu berikutan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.
Bagaimanapun Fahmi juga berkata mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan perkara membabitkan Lembaga Pengampunan termasuk kes Najib.
Kabinet tidak boleh mendahului proses itu kerana ia adalah kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi, kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan," katanya.
Terdahulu media melaporkan Lembaga Pengampunan dijadual memutuskan permohonan Najib pada akhir bulan ini.
Bagaimanapun permohonan bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan itu akan didengar dalam sesi yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan Januari.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.