KUALA LUMPUR, 10 Januari- Kadar pengangguran di Malaysia kembali pada paras prapandemik iaitu 3.3 peratus dengan 569,200 penganggur, berbanding 3.4 peratus dicatatkan pada Oktober, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah yang ditunjukkan setakat November itu, memberi isyarat kepada pertumbuhan ekonomi yang positif.
Ia termasuk pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang menunjukkan pengurangan.
"Bilangan tenaga kerja pada November 2023 meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17 juta orang daripada 16.97 juta orang pada Oktober," katanya dalam kenyataan dikeluarkan DOSM.
Jumlah penduduk yang bekerja pada November meningkat 0.2 peratus, berjumlah 16.43 juta orang berbanding 16.40 juta pata Oktober. Pada masa sama, jumlah individu penganggur berkurang 0.3 peratus kepada 569,200.
Mohd Uzir berkata daripada bilangan mereka yang bekerja, 75.3 peratus berada dalam kategori pekerja yang menunjukkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.37 juta individu. Mereka yang dalam kategori bekerja sendiri juga meningkat 0.3 peratus kepada 2.99 juta.
Sementara itu pekerjaan dalam sektor perkhidmatan terutamanya informasi dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman, dan pengangkutan dan penyimpanan, menyaksikan peningkatan.
Bagi sektor pembuatan, pembinaan, serta perlombongan dan pengkuarian juga melaporkan peningkatan dalam bilangan mereka yang bekerja pada November 2023, manakala sektor pertanian mencatatkan pengurangan.