LONDON, 26 Oktober- Agensi kerajaan yang berkaitan pemasaran produk halal perlu bekerja seiring dalam memastikan kadar eksport negara dalam sektor setanding dengan produk dari negara ASEAN lain.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, meskipun promosi telah dilaksanakan sejak awal dekad 80-an, namun ia dilihat belum cukup kuat untuk pasaran di United Kingdom dan Eropah.
"Usaha bukan hanya di pihak kerajaan, pihak swasta tetapi juga daripada rangkaian pemasaran yang ada terutama rakyat Malaysia yang menjadi usahawan dan menjadi pengusaha pasaran di Eropah dan di peringkat antarabangsa.
"Pada hemat saya Kerajaan MADANI bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melakukan pembiayaan serta promosi perlu dilakukan," katanya selepas melawat Pasaraya ChuangLee yang dimiliki oleh usahawan rakyat Malaysia di sini.
Usaha itu perlu dimantapkan memandangkan pasaran dalam sektor halal global berupaya menjangkau kira-kira AS$1.3 trillion menjelang tahun 2030.
Selain itu, risiko juga perlu dikurangkan dengan meneroka pasaran baharu yang dilihat cukup luas.
Ahmad Zahid turut menggesa pengusaha produk halal tempatan perlu bersifat kompetitif dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh negara pengimport dalam pemasaran produk.
Dalam perkembangan lain Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut dicadangkan untuk diberikan peruntukan lebih besar bagi meningkatkan pasaran produk, perkhidmatan serta promosi ke luar negara.
Dengan melakukan promosi, ia akan membuka ruang lebih luas kepada pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran peringkal global.
"Saya fikir MATRADE harus diberikan perubtukan lebih besar untuk melakukan promosi bagi daya pemasaran. Malaysia juga harus diberikan peluang yang lebih banyak untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan dari Malaysia," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Chuanglee Group Jimmy Chua turut bersetuju berkenaan promosi produk Malaysia perlu dilakukan kerana kualiti dihasilkan setanding dengan produk antarabangsa.
"Kami perlukan sokongan dan banyak aktiviti pemasaran... Kami boleh membawa sebarang produk dari Malaysia, saya boleh lakukan dokumentasi, segala sijil.
"Namun tanpa pemasaran dan sokongan contohnya dengan meletakkan produk tersebut di pasar raya. Namun kami perlu melakukan aktiviti pemasaran setiap bulan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.