fb fb fb fb fb

ASEAN perlu bangunkan polisi dan perundangan angkasa - MOSTI

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Negara rantau Asia Tenggara perlu memiliki kapasiti dan keupayaan dalam pembangunan polisi serta perundangan angkasa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata ia bagi memastikan aktiviti angkasa dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat serta mematuhi segala peraturan dan standard yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya oleh United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).

"Dalam 10 tahun yang lalu, akses manusia terhadap operasi di luar angkasa telah berubah secara asasnya dan perubahan ini berkemungkinan akan bertambah pantas dalam dekad yang akan datang. Perubahan ini dilihat seperti penemuan teknologi abad ke-21 yang lain.

Ia memberi kita peluang dan risiko. Kita perlu membangunkan lagi tadbir urus sedia ada supaya kita boleh mempercepatkan inovasi secara mampan serta mendapat lebih banyak lagi manfaat daripada teknologi angkasa lepas pada masa hadapan," kata Chang ketika berucap pada Majlis Penutupan ‘The First Expert Exchange Seminar On Space Policy: Empowering ASEAN Space Capacity Towards New Space Economy’ di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), ibu negara.

Seminar itu diadakan sempena Sambutan Minggu Angkasa Sedunia (WSW2023) yang diadakan pada bulan Oktober 2023.

Lebih 50 peserta yang terlibat dalam bidang polisi dan perundangan angkasa di Malaysia termasuk negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Kemboja, Laos dan Timor Leste turut menghadiri seminar tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM