fb fb fb fb fb

Gamelan Pahang khazanah warisan Diraja Pahang

PEKAN, 15 Disember- Set Gamelan Pahang berusia lebih dua abad merupakan salah satu khazanah warisan Diraja yang masih digunakan sehingga kini.

Di sebalik alunan muzik gamelan yang syahdu tersingkap pelbagai sejarah menarik berkaitan kesenian, keunikan dan keistimewaannya.

Muzik gamelan buat pertama kali diperdengarkan di Tanah Melayu pada tahun 1811 semasa majlis perkahwinan antara anak Raja Riau dan Pahang.

Di samping itu, golongan wanita istana ketika itu turut berperanan bagi memastikan kesenian gamelan dihidupkan.

Pelbagai usaha dilakukan pihak Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, bagi menarik minat masyarakat kini, terus mendengar alunannya agar kesenian tersebut tidak hanyut ditelan zaman.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal berkata kepada pemberita, "kita dah berjaya rakamkan semua lagu-lagu klasik dalam bentuk piring hitam dan ada juga yang telah dibuat dalam muzik gamelan."

(Ahmad Farid Abdul Jalal)

Set Gamelan Pahang terdiri daripada gong, gambang, Saron, Demong, gendang, kenong dan keromong disimpan di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan, Pahang.

Menurut pemain Saron, Mohd Johari Mohd Tahir pengalaman lebih 15 tahun bermain alat itu punya kenangan manis apabila; "sewaktu mula-mula bermain Saron Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pernah menegur saya pada ketika itu."

Bagi pemain Gong yang juga merupakan ahli pasukan gamelan Muzium Negeri Pahang, Addiel Azharnuddin berkata, "mula-mula saya bekerja di sini, saya terus bermain gamelan. Untuk pengalaman memang kerap bermain untuk istana."

Selain dimainkan dalam majlis keraian dan istiadat istana, alunan muzik Gamelan Pahang turut dimainkan di majlis-majlis rasmi.

Perkara itu turut dipersetujui Ketua Pasukan Gamelan Muzium Negeri Pahang, Muhammad Zahari, "akhir-akhir ini gamelan dimainkan dalam pelbagai majlis. Sebagai contoh, kami pernah memainkan gamelan pada majlis konvokesyen, adat-istiadat istana, majlis kerajaan dan sebagainya.

Alunan muzik gamelan melayu ini, mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri yang mampu menonjolkan identiti malaysia di mata dunia.

Media Baharu