KUALA PERLIS, 31 Oktober - Penyertaan golongan muda dalam angkatan sukarela Tentera Darat Malaysia (TDM) dapat membantu menjana pendapatan sampingan bagi meningkatkan sosioekonomi keluarga serta menyalurkan tenaga sumber manusia.
Mereka juga berpeluang untuk diserap ke angkatan tetap berdasarkan kepada kelayakan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rejimen askar wataniah turut ditugaskan membantu dalam operasi keselamatan dengan pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana alam.
"Askar wataniah memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu ganti angkatan tetap untuk mempertahankan kepentingan strategik negara ketika darurat dan perang," demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis Penutupan Kursus Repalman Kelas 2 Siri 2/2023, Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Wataniah yang berlangsung di Dataran Semarak, Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, di sini.
Seramai 59 orang penuntut berjaya menamatkan kursus bagi melatih keupayaan fizikal dan mental agar kompetan bagi membentuk anggota yang berkemahiran dan berpengetahuan.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Timbalan Komander rejimen yang berslogankan ‘Latih Untul Perang’ tersebut, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.