fb fb fb fb fb

Galak golongan muda ceburi bidang perkapalan - Anthony Loke

PUTRAJAYA, 25 Jun- Golongan muda digalakkan untuk menceburi bidang perkapalan kerana ia memberi pendapatan tinggi serta peluang peningkatan kerjaya.

Sekali gus memenuhi keperluan pelaut di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, negara mempunyai sekitar 60,000 pelaut berdaftar, bukan sahaja bertugas untuk kapal laut tempatan malah dari seluruh dunia.

Jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi berbanding keperluan sebenar industri.

"Seafarer (pelaut) ini bukan saja untuk kapal-kapal tempatan, malah kapal di seluruh dunia...ada ratusan ribu kapal di seluruh dunia jadi sudah tentu setiap kapal memerlukan ramai anak-anak kapal.

"Dia bukan saja boleh bertugas di atas kapal flag Malaysia...kalau mereka menjadi seafarer sudah tentu ada banyak peluang kerana kapal-kapal tempatan pun tidak cukup seafarer, apatah lagi kapal-kapal asing.

"Jadi sudah tentu ramai yang boleh diserap dalam bidang ini dan juga bidang-bidang lain, bidang perkapalan ini memerlukan seafarer yang ramai," katanya.

(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Jelas Anthony, pelbagai latihan dan biasiswa disediakan melalui beberapa institut bawah Jabatan Laut Malaysia; industri perkapalan dan persatuan seperti Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) dan Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL).

Malah katanya ia juga merupakan peluang terbaik terutama kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan latihan secara percuma, seterusnya kerjaya dalam bidang itu.

Transformasi Kad Pelaut Digital

Dalam perkembangan berkaitan, katanya kerajaan merealisasikan transformasi Kad Pelaut sedia ada kepada Kad Pelaut Digital.

Ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada kad plastik yang menyumbang anggaran 14 juta tan plastik dilupus dalam lautan setahun.

Selaras hasrat pendigitalan, usaha itu merupakan kerjasama Jabatan Laut Malaysia bersama Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri.

"Dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan inisiatif oleh Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut, pra-pelancaran Kad Pelaut Digital bukan sahaja memudahkan proses dokumentasi pelaut Malaysia.

"Malah inisiatif ini bakal memulakan transformasi yang lebih besar dalam sistem kad digital oleh sektor kerajaan, serentak memberikan penekanan kepada aspek keselamatan data berlandaskan teknologi terkini," jelasnya.

Media Baharu