fb fb fb fb fb

10% nelayan disasarkan ceburi perniagaan hiliran

BACHOK, 25 Jun- Nelayan di negara ini disarankan untuk terlibat dalam perniagaan hiliran bagi membantu komuniti itu menjana sumber pendapatan tambahan.
 
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, penglibatan yang disasarkan sebanyak 10% dalam tempoh setahun itu penting bagi memperbaiki taraf sosioekonomi mereka.

Ketika ini penglibatan nelayan dalam aktiviti perniagaan hiliran masih rendah bagaimanapun, usaha berterusan sentiasa dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai nelayan dapat menceburi bidang perniagaan.
 
"Kita ada bahagian yang menguruskan perkara ini, dan mempelajarinya untuk melihat peluang-peluang tersebut.

"Kita ada sediakan kursus untuk mereka berkecimpung dalam perniagaan. Perkara itu bagi memudahkan mereka untuk memasarkan produk," katanya pada majlis Rahmah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM bersama nelayan Negeri Kelantan di sini.

Selain pembiayaan kewangan, kursus-kursus bimbingan perniagaan terutama melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA), serta Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) turut disediakan.   

Pengarah LKIM negeri Kelantan, Khuzaimah Husain dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kelantan, Mohd Saripudin Ishak turut hadir pada majlis itu.

Muhammad Faiz berkata antara jenis perniagaan hiliran yang boleh diusahakan adalah pembuatan keropok, makanan berasaskan ikan selain eco pelancongan perikanan.
 
Setakat ini seramai 84,000 nelayan berdaftar bersama LKIM di seluruh negara.

(Muhammad Faiz Fadzil)

Media Baharu