fb fb fb fb fb

Gaji minimum baharu, RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini

KUALA LUMPUR, 30 April- Kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 telah diwartakan secara rasmi dan akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai 1 Mei ini yang juga merupakan Hari Pekerja.

Kadar gaji minimum RM1,500 baharu akan dikenakan kepada majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja.

Pengecualian adalah untuk majikan yang mempunyai kurang daripada lima kakitangan.

Ia adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya.

"Kerajaan juga memutuskan tiada penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan memandangkan Kerajaan telah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah yang telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan," kata Saravanan menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook Kementerian Sumber Manusia.


(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan/Fail)

Ini juga bagi memastikan pekerja-pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum.

Perintah Gaji Minimum 2022 dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan disiarkan dalam warta kerajaan Persekutuan.

Penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, semua majikan diminta mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu ini.

"Kadar gaji minimum yang diputuskan ini adalah wajar bagi memastikan kebajikan pekerja terutama yang berpendapatan rendah terpelihara. Dalam pada itu, pihak majikan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna," tambah kenyataan itu.

Media Baharu