fb fb fb fb fb

Tempoh rayuan BKM dibuka mulai 2 Mei ini

KUALA LUMPUR, 30 April- Tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka mulai 2 Mei ini selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan terdahulu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tempoh tersebut diberikan kerana kerajaan sedar bahawa mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BKM tetapi belum didaftarkan di dalam pangkalan data kerajaan.

Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Penghantaran borang rayuan BKM 2022 secara manual boleh dibuat melalui cawangan, Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN yang berhampiran," kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Kementerian Kewangan Malaysia.


(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/Fail)

Setakat ini, hampir RM2 billion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada hampir 9.0 juta penerima B40 seluruh negara pada Mac lalu dan bayaran Fasa 2 sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada Jun depan.

"Kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya," tambah kenyataan itu.

Media Baharu