YAN, 30 April- Tatkala umat Islam sedang sibuk melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, ada insan pula diuji apabila rumah mengalami kerosakan akibat ribut.
Begitulah nasib penghuni lapan buah rumah di Daerah Yan, Kedah yang ditimpa musibah.
Penduduk yang ditemui, Zulahmadi Ahmad berkata, kejadian berlaku antara pukul 10 malam hingga 11 malam ketika kebanyakan mereka masih berada di masjid menunaikan solat sunat Terawih.
Hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan bumbung rumah mereka diterbangkan angin.
Selain rumah dipenuhi air, peralatan elektrik dan perabot turut rosak.
"Malam tu saya ada di rumah tunggu anak malam tu, kebetulan pulak malam tu tak keluar ke laut, orang di rumah tiada, semua ke masjid, tinggal kami dua orang, lebih kurang pukul 10.30 kejadian tu terjadi. Sekali dengan guruh, kilat semua cukup untuk meranapkan bumbung dan kami terus letak tengah bendang (sawah)," katanya.
(Mangsa ribut, Zulahmadi Ahmad)
Salah seorang mangsa, Som Awang berkata lantaran kejadian tersebut, Aidilfitri kali ini disambut secara sederhana sahaja.
"Tak sangka datang pula ribut masa nak raya ni, anak-anak ajak untuk beraya di rumah mereka tapi Tok nak beraya di rumah sendiri, tapi ayaq (air) pun tiada dah," katanya.
(Som Awang ketika diwawancara pemberita)
Sementara itu, prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk terlibat, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit tampil menghulurkan sumbangan wang tunai selain bantuan seperti toto dan peralatan membersihkan rumah.
"Kita minta mereka ini berpindah tapi dah kerana rumah ni jadi rumah nostalgia, rumah pusaka, jadi ada lagi ruang-ruang yang tuan rumah ni duduk. Jadi kita bagi sedikit bantuan untuk Hari Raya dan saya akan cuba bantu dan pantau dari semasa ke semasa," kata Sabri.
(Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terjejas)
Antara kawasan yang terjejas dalam kejadian ribut itu adalah Kampung Kuala Dulang Kechil, Kampung Kuala Sedaka, Taman Muafakat dan Kampung Sungai Tongkang.