fb fb fb fb fb

Gagal perbaharui lesen memandu lebih tiga tahun, berisiko hilang kelayakan subsidi RON95

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 24 September - Rakyat Malaysia yang gagal memperbaharui Lesen Memandu Kompetan (CDL) lebih daripada tiga tahun berisiko hilang kelayakan menerima subsidi petrol RON95 bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat sejumlah 925,421 individu yang telah tamat tempoh lesennya tidak melebihi tiga tahun, dengan 154,641 daripadanya hampir mencecah tempoh tiga tahun.

"Saya ingin menasihatkan 925,000 orang ini walaupun lesennya masih aktif tetapi tidak diperbaharui supaya segera memperbaharui lesen mereka terutamanya yang telah mencapai hampir tiga tahun.

"Ada lebih 154,000 orang yang lesennya tidak diperbaharui hampir tiga tahun, mereka tidak layak dapat subsidi RON95 automatik sebab apabila lesen tidak sah, secara automatik akan disekat melalui sistem Kementerian Kewangan (MOF)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Pemegang lesen berkenaan diseru untuk segera memperbaharui lesen memandu bagi mengelak diwajibkan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).

Berdasarkan rekod terkini JPJ, terdapat sejumlah 2.4 juta pemegang CDL berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Sejak pengumuman berkaitan BUDI RON95 pada 22 September lalu, JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan lesen memandu menerusi pelbagai saluran urus niaga seperti aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI