fb fb fb fb fb

Cukai jalan cecah RM35.7 juta, Tan Sri antara yang ditahan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 24 September - Individu kenamaan bergelar Tan Sri, ahli politik dan ahli perniagaan antara pemilik kenderaan mewah yang dikesan culas memperbaharui cukai jalan dengan tunggakan keseluruhan mencecah RM35.7 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati, lima jenis kenderaan mewah seperti Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche, tidak memperbaharui cukai jalan.

Beliau berkata, ia membabitkan sebanyak 345 buah kereta Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta, 372 buah Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

"Saya hanya mohon mereka menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan.

Jika kenderaan itu masih digunakan di atas jalan raya, mereka wajib membayar lesen kenderaan motor (LKM) dan mempunyai insurans yang sah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, JPJ telah melaksanakan 'Ops Luxury' secara berterusan dengan menyita kenderaan mewah yang didapati tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah.

Katanya, kenderaan itu tidak dibenarkan berada di atas jalan raya sehingga pemilik melunaskan tunggakan.

Tambah beliau, ada pemilik yang sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 masih berbaloi berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dibayar.

"Jika sikap ini berterusan, kami akan mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal supaya mereka perbaharui cukai jalan," tegasnya.

Trainee