fb fb fb fb fb

Gagal patuh TTPM, syarikat pengendali umrah berdepan 51 pertuduhan

Foto Fail

SEREMBAN, 27 Februari- Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas 51 pertuduhan gagal untuk mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Syarikat berkenaan gagal membayar balik tuntutan wang berjumlah RM473, 730 kepada 17 orang mangsa.

Syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel and Tours Sendirian Berhad diwakili dua pengarah berkenaan yang merupakan pasangan suami isteri iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43 tahun dan Datin Mazuin Mustafa, 43 tahun.

Kedua-dua pasangan itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noor Hafiza Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, Emraz Travel and Tours Sendirian Berhad sebagai sebuah syarikat dengan kedua-dua tertuduh selaku orang kena saman (OKS) masing-masing berdepan 17 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, antara 29 Mei sehingga 13 September 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Suhana manakala OKS diwakili Peguam, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM500 setiap pertuduhan iaitu bersamaan RM17,000 secara global (bagi semua tertuduh) dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 25 April depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM