PUTRAJAYA, 27 Februari- Nilai pelaburan syarikat Malaysia di Kemboja telah melebihi AS$3 bilion ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan itu menjadikan Malaysia antara pelabur asing terbesar di negara berkenaan.
Katanya, menerusi kerjasama berterusan, beliau menjangkakan pelaburan Malaysia akan terus berkembang pada masa akan datang.
"Kita berpotensi besar daripada segi meningkatkan jumlah perdagangan minyak sawit, beras putih. Kementerian Perdagangan, kedua-dua negara akan menggunakan platform jawatankuasa teknikal bersama-sama untuk menangani cabaran ini serta mencari penyelesaian. Baik perdagangan, mahupun pelancongan. Kita harus mengharapkan lebih banyak pelaburan ke Kemboja dan dari Kemboja ke Malaysia," kata Anwar ketika berucap pada sidang media khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di sini.
Sementara itu, Anwar berkata kedua-dua negara juga berbincang mengenai kerjasama berterusan antara pihak berkuasa untuk memastikan tindak balas yang pantas dan berkesan dalam memerangi jenayah rentas sempadan termasuk kes penipuan pekerjaan.
"Kami juga bekerjasama dengan komuniti Islam, memastikan kami memainkan peranan yang positif dan bermakna di Kemboja," kata Anwar.
Perbincangan kedua-dua negara itu tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja.
Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak tahun 1957.