PUTRAJAYA, 27 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan minat Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam pembinaan saluran paip tenaga dasar laut.
Pembinaan paip sejauh lebih 1,000 kilometer (KM) itu bagi memudahkan penghantaran tenaga boleh diperbaharui dari Kemboja dan Laos ke Singapura.
"Kami mengekalkan pembinaan saluran paip tenaga laut sepanjang 1000 kilometer untuk penghantaran tenaga boleh diperbaharui dari Kemboja dan kini ke Singapura. Ini adalah isu-isu yang yang boleh diterokai", kata Datuk Seri Anwar dalam Sidang Media Khas Bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Putrajaya.
Selain daripada itu, Malaysia dan Kemboja bersetuju untuk meneroka laluan penerbangan baharu.
Perdana Menteri berkata, ia sekali gus mampu meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.
"Kami meneroka isu pelancongan dan 47 penerbangan seminggu dari Kemboja ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Kemboja dan kami telah bersetuju untuk meneroka laluan baharu untuk mengembangkannya, kerana ini berpotensi besar kepada kedua-dua negara.
"Kami telah mengakui hakikat bahawa ASEAN telah mencatatkan kerjasama yang mengagumkan dalam pelbagai bidang, pelaburan intra-perdagangan yang masih kurang.
"Oleh itu, kami mempunyai tanggungjawab untuk mempertingkatkannya bersama supaya ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara", katanya dalam sidang media khas bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Putrajaya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju menjalin kerjasama membabitkan bank pusat kedua-dua negara sebagai antara usaha bagi menangani isu kemerosotan nilai mata wang masing-masing.
"Kami telah mencapai kejayaan relatif dengan China dalam 25 peratus daripada jumlah perdagangan menggunakan mata wang tempatan kami. Dengan Thailand dengan 18 peratus, daripada 20 peratus perlu dibayar kepada Kemboja.
"Saya fikir menggunakan mata wang tempatan sudah tentu dapat mengurangkan beban dan tekanan untuk terus terikat kepada Dolar Amerika", katanya.
Perbincangan dua negara itu tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi komuniti Muslim di Kemboja.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet sedang dalam lawatan rasmi sehari ke Malaysia, hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ini merupakan lawatan pertama Hun Manet ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos lepas.
Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak tahun 1957.