fb fb fb fb fb

Gagal kemuka dokumen kepada LHDN, seorang kontraktor dihadapkan ke mahkamah

Foto Fail

SEREMBAN, 8 Januari- Seorang kontraktor pembekal makanan masak dihadapkan ke Mahkamah Masjistret Seremban hari ini kerana didapati gagal mengemukakan empat penyata pendapatan tahun taksiran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagaimanapun, kertas pertuduhan tidak dibacakan ketika prosiding berlangsung dan Majistret, Nor Hafiza Ishak menetapkan tarikh 7 Mac depan sebagai tarikh keputusan rayuan rundingan kes.

Orang Kena Saman (OKS), Afandi Hassan, 41 tahun didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 112 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Jika sabit kesalahan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

LHDN diwakili Pegawai Pendakwa, Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin manakala OKS tidak diwakili peguam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM