FOTO KTMB
KUALA LUMPUR, 9 Januari- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas kakitangan terbabit dalam kejadian tren tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai Kelantan pagi tadi hingga mengakibatkan 100 pelajar gagal hadir sekolah.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, tindakan disiplin juga akan diambil ke atas kakitangan tersebut sekiranya siasatan lanjut mendapati berlaku kecuaian.
KTMB mengesahkan kejadian tren tidak berhenti, pukul 7.08 pagi Ahad itu melibatkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat, pada jam 4.05 pagi sama.
"KTMB memandang serius dan kesal dengan kejadian tersebut terutama melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan pada Ahad," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal atas kejadian yang berlaku.
Jelas KTMB, tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan.