KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Sambutan Negara sempena Lawatan Negara Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro di Istana Negara.
Keberangkatan tiba berlangsung di Dataran Kawad Istana Negara, diikuti Hormat Diraja dan Negaraku yang turut disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan menteri kabinet.
Ketibaan Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro dan TYT Dr Richard Davies, disambut dengan iringan lagu God Defend New Zealand, disusuli lagu Negaraku beserta Tembakan Meriam Istiadat sebanyak 21 Das.
Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipimpin Kapten Sabri Hamil manakala Kumpulan Tembakan Meriam Istiadat diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Will.
Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Barisan KKU terdiri daripada empat Pegawai dan 103 Anggota Lain-lain Pangkat yang berpangkalan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pimpinan Mejar Mohd Waqiyudin Abd Rahman.
(FOTO BERNAMA)
Usai pemeriksaan KKU, majlis diteruskan dengan Upacara Menanam Pokok Nona Annona Squamosa di Dataran Kawad Istana Negara.
Gabenor Jeneral Dame Cindy Kiro kemudian menandatangani Buku Pelawat serta bersalaman dengan Dif Jemputan terdiri daripada barisan menteri kabinet antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kedua-dua pemimpin beserta rombongan delegasi dan dif kehormat kemudiannya mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja untuk upacara penyampaian cenderakenangan serta Penamaan Orkid 'Dendrobium Cynthia Kiro', simbolik penghormatan dan meraikan kedatangan beliau ke negara ini.