
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 yang akan dianjurkan pada 5 Februari bakal menjadi acara tahunan, khususnya sebagai platform inklusif bagi memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi cabaran serta hala tuju pembangunan ekonomi negara.
- FEM 2026 diteruskan sebagai platform inklusif untuk memperkukuh pemahaman dan kesiapsiagaan semua pihak dalam pembangunan ekonomi negara.
- Fokus pada pemanfaatan teknologi dan AI serta pembangunan kemahiran rakyat untuk menyokong transformasi ekonomi dan produk 'Made by Malaysia'.
- Forum berperanan memantau pelaksanaan RMK-13 melalui indikator seperti penyertaan tenaga kerja, daya saing dan tarikan pelaburan.
Menurut Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi berkata, FEM yang mula dianjurkan pada 2025 diteruskan pada tahun ini bagi menyediakan ruang dialog melibatkan agensi kerajaan, pemain industri, akademia serta rakyat secara keseluruhan.
“Forum ini bertujuan memberi pemahaman jelas tentang cabaran ekonomi negara, usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta langkah-langkah konkrit yang akan dilaksanakan kerajaan, khususnya pada tahun 2026,” katanya kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
FEM 2026 akan membincangkan lapan tema utama yang menyentuh pembangunan ekonomi masa depan, termasuk aspirasi Malaysia menuju ke arah negara berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta keupayaan negara menghasilkan produk berjenama ‘Made by Malaysia’, tambahnya.
“Antara fokus utama ialah bagaimana teknologi dan AI dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi, di samping memastikan rakyat mempunyai kemahiran yang mencukupi bagi menyokong peralihan ini,” ujarnya.
Selain itu, forum turut menumpukan aspek kesejahteraan rakyat melalui penambahbaikan sistem kesihatan awam, penyediaan perumahan yang selesa dan mampu milik, keselamatan bekalan makanan serta kesinambungan dasar-dasar sosial yang telah diperkenalkan kerajaan.
Forum ini turut menampilkan barisan penceramah antarabangsa termasuk pengasas bersama Siri, Tom Gruber yang akan berkongsi pandangan mengenai potensi AI dalam memacu pembangunan ekonomi Malaysia.
Dalam masa sama, indikator kejayaan pelaksanaan dasar RMK-13, antara yang akan dipantau ialah peningkatan kadar penyertaan tenaga kerja, kedudukan daya saing negara, keupayaan menarik pelaburan ke kawasan kurang membangun serta penambahbaikan sistem kesihatan negara.
“FEM bukan sekadar forum perbincangan, sebaliknya menjadi mekanisme penting bagi memantau pencapaian, menilai kesiapsiagaan dan memperkukuh pelaksanaan agenda ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.