fb fb fb fb fb

Forum Pedana Ehwal Islam disaran diperluas ke seluruh Sabah

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif

MEMBAKUT, 4 Julai - Forum Perdana Ehwal Islam disaran untuk diperluas ke daerah-daerah lain di seluruh Sabah sebagai langkah mengembangkan syiar Islam dan menyemarakkan dakwah kepada semua lapisan masyarakat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program seperti itu wajar dijadikan agenda tahunan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan insan selaras matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

"Saya juga berharap program Forum Perdana Ehwal Islam ini dapat dijadikan program tahunan dan dapat dilebarkan ke daerah-daerah di seluruh negeri Sabah, demi menyemarakkan dakwah, tarbiah dan menjana semangat memperkasa negeri dan negara melalui kekuatan akidah, syariah dan akhlak al-karimah," katanya.

Datuk Dr Mohd Arifin bercakap kepada pemberita dalam program Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, di sini.

Selaras tema "Sucikan Jiwa, Umat Maju Jaya" fForum tersebut menghimpunkan tiga panel jemputan terkemuka iaitu Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin; penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias; serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.

Ia menampilkan perbincangan berfokus kepada cabaran dunia teknologi moden dan kesannya terhadap kehidupan umat Islam.

Antara topik yang dibincangkan termasuk cabaran dunia teknologi moden dan kesan terhadap kehidupan umat Islam, serta peranan akidah dan akhlak dalam membina kekuatan ummah dalam era digital.

Program berkenaan merupakan salah satu pengisian utama sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-13 yang diadakan di daerah Membakut.

TETITIA YUSOFF