SUBANG JAYA, 9 April- Empat buah trak makanan kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor bersama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini menyajikan makanan dan minuman secara percuma kepada mangsa kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Inisiatif yang dijayakan bersama peserta Agro Truck Pasar Tani itu bukan sahaja memberi manfaat kepada mangsa, malah turut menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas di lokasi berkenaan.
Menurut Pengarah FAMA Selangor, Isa Hamzah, sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan apabila semua makanan dan minuman habis diagihkan dalam tempoh hanya dua jam.
“Sumbangan ini adalah hasil kerjasama antara peserta dan FAMA sendiri. Kami harap sedikit sebanyak ia dapat menceriakan dan meringankan beban mangsa yang terjejas di PPS Putra Heights ini,” katanya.
Antara menu yang ditawarkan termasuk kebab, ayam goreng Korea, nasi ayam geprek serta pelbagai jenis minuman.
Dalam perkembangan berkaitan, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad turut mengadakan lawatan ke PPS tersebut bagi menyampaikan sokongan moral dan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berkata, lawatan tersebut merupakan langkah awal untuk memahami keperluan mangsa secara lebih dekat.
“Saya sempat bertemu beberapa keluarga dan memberi sokongan moral. Kadangkala, dalam situasi begini, mereka bukan sekadar perlukan bantuan fizikal, tetapi juga seseorang yang sudi mendengar dan memberi semangat,” katanya.
PEKAWANIS turut menyumbangkan alat tulis dan bahan bacaan kepada kanak-kanak mangsa, serta telekung dan sejadah kepada keluarga yang terjejas.
Lawatan dua jam itu memberi peluang kepada Datin Seri Masdiana untuk meninjau sendiri keadaan di PPS dan menyantuni mangsa secara peribadi.