fb fb fb fb fb

ASEAN+3 perkukuh kerjasama kewangan hadapi risiko global

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April- Mesyuarat Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN+3 memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan kewangan serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz, inisiatif itu penting dalam mengurangkan kebergantungan negara-negara ASEAN terhadap bantuan luar dan memperkukuh keupayaan kendiri dalam menghadapi perubahan dasar ekonomi global.

Ini termasuk peningkatan ketegangan perdagangan dan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat.

Bagi memperkukuh keupayaan kendiri ASEAN, beberapa langkah telah dilakukan termasuk penubuhan platform peringkat menteri untuk membincangkan dasar fiskal dalam kalangan negara ASEAN+3.

"Antara perkara-perkara utama yang telah kita bincangkan, tidak dapat lari dalam membincangkan dan juga berkongsi mengenai tindakan dan pengalaman menghadapi isu mengenai pelaksanaan polisi dan juga tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam konteks itu juga, semua negara bersetuju supaya inisiatif-inisiatif yang telah kita usahakan di peringkat ASEAN+3 ini dipergiat untuk memastikan bahawa negara-negara kita dirantau ini lebih cepat," kata Datuk Zamzuri kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat tersebut di ibu negara.

Selain itu, mekanisme baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan jaringan keselamatan kewangan sebagai langkah kesiapsiagaan membantu negara anggota sekiranya berlaku krisis kewangan atau ekonomi juga dipersetujui.

Antara negara yang turut terlibat dalam mesyuarat ini termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Kemboja.

Segala cadangan dan persetujuan dalam mesyuarat berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN yang akan datang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM