GEORGE TOWN, 19 April- Pengarah Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Pulau Pinang Adenan Md Isa memberi peringatan untuk tidak menggunakan telefon bimbit atau membaca aplikasi whatsapp ketika memandu kerana ia boleh mengundang padah.
Peringatan itu diberikan kerana ia merupakan salah satu kesalahan utama pemandu serta penunggang motosikal.
Beliau berharap, atas dasar keselamatan diri sendiri dan orang lain, semua pihak wajib mematuhi peraturan penting itu.
"Kebanyakan kita leka dengan bermain telefon, pantang kita berhenti di lampu isyarat mesti kita akan melihat telefon sama ada membaca mesej atau lain-lain.
"Sepatutnya kita boleh baca telefon tetapi berhenti di tempat yang dibenarkan dan bukannya semasa memandu, perkara itu merupakan antara sembilan fokus kesalahan yang akan diteliti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya epada pemberita selepas melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri 2023 di laluan motosikal jalan masuk Jambatan Pulau Pinang.
Beliau berkata, semua pengguna jalanraya mesti mengambil tanggungjawab penuh ke atas keselamatan di jalan raya.
Dalam operasi itu, JPJ menyita 11 buah motosikal atas kesalahan seperti tidak mempunyai lesen, tiada cukai jalan dan warga asing yang menggunakan motosikal.
(Adenan Md Isa)