SHAH ALAM, 12 Disember- Sebanyak 70 peratus tiket penerbangan telah ditebus oleh pelajar universiti dan institusi pendidikan awam melalui inisiatif FLYSiswa 2024, setakat 10 Disember lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia melibatkan 36,949 pelajar yang telah menebus baucar digital melalui syarikat penerbangan negara.
"Sebanyak 70 peratus telah ditebus untuk 2024. Kita memperuntukkan kepada lebih 50,000 pelajar, dan setakat ini lebih 35,000 pelajar sudah menebus.
"Masih ada 30 peratus belum ditebus, jadi kita ingatkan mereka bahawa penebusan boleh dibuat sehingga 31 Disember 2024.
"Mereka juga boleh menebus baucar sekarang dan membeli tiket untuk tahun depan, tidak ada masalah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Karnival FLYSiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini.
Dalam perkembangan lain, Loke menyatakan bahawa kerajaan mengalu-alukan inovasi dalam menyediakan perkhidmatan logistik yang lebih baik untuk negara.
Beliau menekankan sokongan kementeriannya terhadap infrastruktur pengangkutan elektrik yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Konsep ini menggunakan kenderaan elektrik (EV) dan kereta api untuk penghantaran bungkusan, dengan penghantaran terakhir dilakukan melalui mobiliti hijau.
"Ini selaras dengan dasar semasa kerajaan dan penting untuk agenda ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus)," katanya selepas lawatan kerja di hab syarikat Diolko, syarikat peneraju penghantaran perbatuan akhir yang mampan, di stesen LRT Putra Heights, Selangor.
Diolko memperkenalkan proses penghantaran inovatif menggunakan troli istimewa yang direka untuk sistem rel bandar, menjadikan pengangkutan barangan lebih cekap.
Teknologi itu adalah yang pertama diperkenalkan di Asia Tenggara.
Program perintis itu merupakan kerjasama Diolko dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), berlangsung dari Julai 2024 hingga Januari 2025.