fb fb fb fb fb

30 pengamal media di Kelantan dan Terengganu terima sumbangan

Fahmi Fadzil (kiri) beramah mesra bersama bekas jurukamera RTM Terengganu, Asmara Mat Hassan (kanan) pada Program Ziarah Kasih dan Penyerahan Bantuan Tabung Kasih@HAWANA di Kampung Sungai Rengas/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- 30 pengamal media di Terengganu dan Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA sebagai usaha untuk menyokong kumpulan itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan itu berkata inisiatif berkenaan adalah untuk memastikan para pengamal media yang banyak berjasa kepada masyarakat tidak dilupakan, dan mereka terus diberi sokongan dalam apa jua keadaan. 

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 234 pengamal media yang telah menerima sumbangan daripada inisiatif berkenaan yang turut disokong AEON BiG selaku penaja barangan. 

"Aktiviti seperti ini diharapkan akan merapatkan silaturahim dan juga memberi satu mesej kepada kawan media bahawa mereka ini tidak dilupakan.

"Semoga bantuan ini akan memberi sedikit keceriaan kepada mereka. Saya mengharapkan tahun depan lebih ramai yang akan kita temui. Saya paling terkesan kerana sebelum ini ada yang menerima bantuan selepas itu dijemput ilahi," katanya.

Fahmi juga sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi bekas jurukamera Jabatan Penyiaran Terengganu, Asmara Mat Hassan yang menghidap masalah buah pinggang dan juga penerima Tabung Kasih@HAWANA di Kampung Sungai Rengas Kuala Terengganu.

Asmara, 62 tahun pernah berkhidmat selama 36 tahun di RTM sejak 1981 sedang menjalani rawatan dialisis dan fisioterapi selepas diserang strok pada September lalu, selain turut menghidap penyakit buah pinggang sejak Mei 2020. 

Selain sumbangan wang tunai, bapa kepada empat cahaya mata itu turut menerima sumbangan barangan keperluan harian.

"Macam sukar untuk saya percaya bahawa menteri datang melawat saya dan menyampaikan sumbangan. Sebelum ini saya bertugas sebagai jurukamera dan aktiviti seperti ini adalah tugasan yang pernah saya lakukan dahulu, kini saya pula menjadi sebahgian daripada liputan," katanya.

Asmara juga bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan berkenaan kerana ia akan membantu meringankan kos untuk melakukan rawatan dialisis tiga kali seminggu serta kos-kos lain.

Kunjungan berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj. 

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA merupakan inisiatif untuk membantu wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun bersara, uzur atau memerlukan bantuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI