fb fb fb fb fb

BNM umum langkah mengatasi kenaikan kadar premium insurans minggu depan

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah-langkah interim bagi mengatasi kenaikan kadar premium insurans pada minggu hadapan, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata dalam hal ini, penglibatan semua pihak berlandaskan prinsip pendekatan keseluruhan negara amat penting.

"Ini temasuk tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), BNM serta kerjasama pihak berkepentingan seperti penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO), hospital swasta, pakar perubatan, farmaseutikal dan persatuan-persatuan pengguna.

"Sepertimana yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas, beberapa langkah interim dan segera sedang diperhalusi oleh BNM," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Amir Hamzah berkata antara langkah itu adalah memastikan peningkatan premium insurans dilaksanakan secara teratur dan berperingkat dan bantuan-bantuan lain untuk golongan tertentu.

"BNM juga akan terus meneliti langkah yang boleh menambah baik reka bentuk produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) dengan kadar premium lebih mampan dan boleh menggalakkan penggunaan secara berhemat.

"BNM juga menghendaki ITO untuk memperluas pilihan kepada pengguna yang terjejas, termasuk pelan pembayaran premium lebih fleksibel dan pelan perlindungan berbeza pada kadar premium lebih mampan," katanya.

Amir Hamzah berkata, pada masa sama, MOF menyambut baik usaha KKM yang turut melaksanakan beberapa langkah selain meneliti solusi jangka panjang dalam mendepani inflasi kos perubatan di Malaysia.

"Bagi memastikan kemampanan sektor kesihatan negara ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai, semua pihak dalam ekosistem kesihatan, termasuk hospital swasta dan farmaseutikal berganding bahu menangani punca utama inflasi kos perubatan.

"MOF, KKM dan BNM sentiasa peka dan akan membuat libat urus berterusan dengan pihak berkaitan termasuk sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan yang berlangsung baru-baru ini," katanya.

1212 DN GULUNG AMIR HAMZAH 2Datuk Chan Foong Hin/ BERNAMA

Sementara itu Sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM64.6 bilion atau sekitar 5.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari Januari sehingga September 2024, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Chan Foong Hin berkata sektor itu turut menyumbang sebanyak RM152.1 bilion atau 12.2 peratus kepada eksport negara, dengan peratusan eksport meningkat 15.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

"Dari segi import pula, ia berjumlah RM54.8 bilion dari tempoh Januari sehingga Oktober 2024. Ini bermaksud jumlah dagangan sebanyak RM206.8 bilion manakala imbangan dagangan sebanyak RM97.3 bilion," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Chan berkata KPK telah meluluskan pembiayaan Program Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil Sawit Persendirian (TSPKS 2.0) di bawah Skim Tanaman Semula Sawit berjumlah RM76.16 juta sehingga 5 Dis 2024.

Katanya dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,990 kebun pekebun kecil telah diluluskan melibatkan 1,692 pekebun kecil dengan keluasan 4,865.32 hektar di bawah TSPKS 2.0.

Beliau berkata buat masa ini KPK dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mewajibkan penggunaan teknologi rawatan efluen tertentu kepada kilang sawit.

Menurutnya bagaimanapun MPOB sentiasa menggalakkan penggunaan teknologi rawatan efluen moden yang mesra alam sekitar dan berkesan dari segi kos bagi mencapai had piawai yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.- BERNAMA 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI