fb fb fb fb fb

FINAS bakal jalin kerjasama, bantu martabat filem Malaysia ke peringkat antarabangsa

CANNES, 20 Mei - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Kementerian Luar Negeri sebagai langkah proaktif dalam membantu memartabatkan filem Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Ia antara persediaan awal untuk Malaysia terus mempromosi hasil karya filem negara di MARCHE DU FILM edisi tahun hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim perkongsian pintar kesemua kementerian itu kelak dapat memperluaskan pasaran filem negara malah menarik pelancong untuk datang ke Malaysia.

"Dengan pendekatan yang betul, strategi yang betul kita akan dapat ketengahkan lokasi filem dan penglibatan Tourism Malaysia misalnya, saya yakin akan dapat memberi gambaran yang lebih luas tentang kelebihan-kelebihan yang ada di negara kita," kata beliau ketika menjadi panel dalam Persidangan “The Heartbeat of Malaysia” yang berlangsung di Palais de Festival, di sini.


(Persidangan “The Heartbeat of Malaysia” yang berlangsung di Palais de Festival, Cannes)

Usaha gabungan kementerian tersebut disambut baik oleh pemain industri yang turut serta dalam MARCHE DU FILM kali ini.

Bagi beberapa penerbit filem, kerjasama itu nanti mampu memberi pendedahan penerbit filem antarabangsa bukan sahaja tentang lokasi menarik untuk menjalani penggambaran, malah mampu memberi pendedahan mengenai budaya.

"Satu kerjasama yang amat baik, bagi pihak FINAS dan pihak MDEC serta diharapkan Kementerian Pelancongan mampu duduk berbincang mengenai hala tuju akan datang, lebih baik jika syarikat penerbangan MAS turut serta," kata penerbit Biscuitfilms, Bill Donovan.

"Gabungan ini akan memberi sokongan yang luas pada penerbit-penerbit serta mereka yang mengikuti delegasi ini," menurut Penerbit Seni 2020, Datuk Nancy Foo.

Media Baharu