fb fb fb fb fb

Langkawi dijangka terima ketibaan hampir 600,000 pelancong

LANGKAWI, 20 Mei - Langkawi dijangka menerima ketibaan 580,000 orang pelancong pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jangkaan itu berdasarkan statistik pelancong semasa cuti perayaan Aidilfitri lalu.

Sejumlah 107,417 pelancong telah menjadikan pulau itu sebagai destinasi percutian dari 28 April hingga 8 Mei.

LADA juga katanya aktif melaksanakan promosi di peringkat antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia.

(Nasaruddin Abdul Muttalib ditemui pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri LADA)

"Sehingga penghujung April yang lalu, Langkawi telah mencatatkan kedatangan pelancong seramai 673,486 orang. Jadi kita menjangkakan pelancong akan terus meningkat pada suku ketiga dan suku keempat nanti," kata Nasaruddin ketika ditemui pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri LADA di sini.

LADA sebelum ini menyertai Pavilion Malaysia di Arabian Travel Market (ATM) 2022 sebagai langkah meraih pelancong dari Asia Barat yang menjadi antara 10 pasaran utama.

Sembilan program promosi antarabangsa dan enam program promosi domestik telah dan bakal dilaksanakan tahun ini merangkumi World Travel Market London (WTM) 2022 dan Qatar Travel Mart 2022 yang dijadualkan pada bulan November.

 

Media Baharu