fb fb fb fb fb

Filipina mula beri dos penggalak kedua COVID-19

(Seorang lelaki menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, di pusat suntikan pandu lalu, di Manila, Filipina/FOTO REUTERS)

MANILA, 26 April- Kerajaan Filipina mula memberikan dos penggalak COVID-19 kedua untuk golongan dewasa yang mempunyai sistem imun yang lemah sekali gus menyertai negara Asia lain yang menawarkan suntikan vaksin keempat.

Hampir 61 peratus daripada 110 juta penduduk Filipina sudah lengkap divaksin, manakala hampir 13 juta orang lagi telah menerima dos penggalak pertama, menurut data kerajaan.

Sasaran pemberian dos penggalak kedua ini ialah di antara 7,000 hingga 13,000 daripada 690,000 individu dewasa yang dianggap paling terdedah, seterusnya dapat membantu meningkatkan perlindungan diri masing-masing terhadap COVID-19 dan variannya.

"Oleh kerana liputan vaksinasi yang semakin meningkat, dalam masa terdekat kita boleh menganggap ini sebagai penyakit endemik," kata Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque dalam forum awam.

Antara negara di rantau Asia yang meluluskan pemberian dos penggalak kedua ialah Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, bagi mencegah penularan virus itu di kalangan warga emas apabila kerajaan Filipina mula melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik itu tidak lama lagi.

Filipina mengambil langkah berhati-hati dengan pembukaan semula sempadannya, walaupun terdapat usaha untuk memulihkan ekonomi yang menguncup lebih daripada sembilan peratus pada tahun 2020.

(Petugas hospital memberi dos penggalak COVID-19 di Pusat Perubatan Valenzuela,
di bandar Valenzuela, Filipina/FOTO REUTERS)

Dengan 3.68 juta kes secara keseluruhan dan lebih daripada 60,000 kematian, negara itu mengalami krisis COVID-19 yang paling teruk di Asia Tenggara, walaupun jangkitan harian baharu menunjukkan penurunan ketara, kini pada purata 207 kes sehari. -REUTERS

Media Baharu