fb fb fb fb fb

Festival Good Vibes 2023 dibatalkan serta merta - Fahmi

(FOTO FB GOOD VIBES FESTIVAL)

PUTRAJAYA, 22 Julai - Festival Good Vibes 2023 yang dijadual berlangsung sehingga esok dibatalkan serta merta.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pembatalan itu susulan aksi dan kenyataan yang sangat biadab artis dari United Kingdom (UK) "The 1975" pada festival itu, malam tadi.

(Fahmi Fadzil ketika mengadakan pertemuan bersama penganjur Festival Good Vibes 2023,
Future Sound Asia, hari ini / FOTO FB FAHMI FADZIL)

"Kerajaan Perpaduan tegas dengan pendirian untuk tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia," kata Fahmi ketika mengadakan pertemuan dengan penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, hari ini.

Tambah Fahmi, kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara, namun tindakan menyentuh sensitiviti masyarakat khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan tidak wajar dilakukan sama sekali.

"Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket," katanya.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap artis dan penganjur konsert berkenaan.

Laporan polis dibuat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Laporan dibuat selepas pihak pengajur gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

JK-PUSPAL menerusi kenyataan memaklumkan, ketika permohonan penganjuran dibuat, pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan tersebut.

"KKD amat kesal dengan tindakan sangat biadab ditonjolkan artis luar negara itu ketika membuat persembahan sempena Good Vibes Festival di Sepang semalam," kata jawatankuasa itu.

 

Artikel Berkaitan: 

Hina undang-undang LGBT Malaysia, kumpulan 'The 1975' bersikap sangat biadab ketika konsert

Media Baharu