LABUAN, 29 Jun 2025 – Perkhidmatan Feri Express yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Labuan mencatatkan sebanyak 38 pelayaran dengan hampir 3,800 penumpang sejak ia kembali beroperasi pada penghujung Mei lalu, selepas tiga tahun dihentikan akibat pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata pencapaian itu menunjukkan sambutan amat menggalakkan terhadap perkhidmatan feri laju tersebut yang kini menjadi antara alternatif pengangkutan utama bagi penduduk dan pelawat.
“Alhamdulillah, kita gembira dan saya harap dengan perkhidmatan yang kita aktifkan kembali ini akan membantu kawan-kawan kita yang mahu berulang-alik daripada Kota Kinabalu ke Labuan dalam keadaan yang mudah, selesa dan murah juga,” katanya pada sidang media di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, selepas menyantuni penumpang yang tiba dari Kota Kinabalu hari ini.
Menurutnya, pengoperasian semula laluan tersebut merupakan hasil komitmen bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Kerajaan Negeri Sabah, dalam usaha memperkukuh keterhubungan wilayah serta merangsang semula pertumbuhan ekonomi di Labuan.
Dr. Zaliha turut menggalakkan lebih ramai pengusaha tampil menyediakan perkhidmatan feri tambahan bagi memperluas capaian dan meningkatkan kekerapan perjalanan.
“Saya amat berbesar hati sekiranya ada lagi pengusaha yang berminat untuk menambahkan connectivity kita antara Labuan dan negeri-negeri sekitar, kemudahan ini ditambah lagi jumlah perjalanan,” katanya.
Feri berkenaan mampu memuatkan 212 penumpang dalam satu-satu masa, terdiri daripada 146 tempat duduk kelas ekonomi dan 66 tempat duduk kelas perniagaan, sekali gus memberi pilihan yang selesa dan berpatutan kepada pengguna.
Beliau turut mengumumkan bahawa sempena Sambutan Borneo Floria Festival (BFF@Labuan), perkhidmatan feri laju itu akan beroperasi setiap hari bermula 25 Julai hingga 3 Ogos 2025, bagi menyokong kehadiran pengunjung ke acara tahunan terbesar di pulau tersebut.
“Pelaksana perkhidmatan feri juga perlu memastikan mutu perkhidmatan dan pengoperasian berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan dan keselamatan penumpang,” katanya.