PUTRAJAYA, 28 Mei – Fenomena Istiwa' A’dzam memberi peluang kepada umat Islam untuk menyemak dan memastikan arah kiblat secara tepat dari kediaman, pejabat mahupun masjid.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni berkata fenomena itu berlaku apabila matahari berada tepat di atas Kaabah, sekali gus menyebabkan bayang-bayang objek tegak yang terbentuk ketika itu menjadi rujukan terus ke arah kiblat.
“Ada dakwaan bahawa fenomena Istiwa' A’dzam ini akan mengubah arah kiblat kita, sebenarnya tidak. Fenomena ini hanyalah satu cara untuk membuat semakan arah kiblat. Jika sebelum ini arah kiblat kita sudah tepat, maka ini adalah peluang untuk mengesahkannya.
"Jika ragu-ragu atau tidak yakin dengan arah kiblat, inilah masanya untuk menyemak secara praktikal,” katanya ketika ditemui selepas melakukan semakan arah kiblat di Masjid Putra, di sini.
Fenomena Istiwa' A’dzam dilaporkan berlaku tepat pada pukul 5.18 petang, ketika kedudukan matahari sejajar di atas Kaabah.
Justeru, orang ramai digalakkan membuat semakan arah kiblat di premis masing-masing pada 29 dan 30 Mei ini, sekitar pukul 5:10 hingga 5:30 petang, dengan memastikan objek tegak seperti tiang atau pen berdiri lurus di bawah cahaya matahari.
Langkah itu penting bagi menjamin ketepatan arah kiblat untuk solat harian serta memberi pendedahan ilmu falak secara praktikal kepada masyarakat.