KUALA LUMPUR, 28 Mei - Industri semikonduktor negara mempunyai kekuatan tersendiri dan berpotensi dalam meningkatkan taraf sektor pertanian melalui integrasi teknologi canggih sekali gus memacu pembangunan ekonomi serta memperkukuh keselamatan makanan di peringkat global.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Liew Chin Tong berkata,
kekuatan dalam bidang itu juga turut mampu membuka peluang integrasi mendatar yang lebih meluas dengan penglibatan pelbagai industri strategik.
"Jika Malaysia dapat menjadi kuasa besar dalam bidang teknologi, kita boleh membantu negara-negara kurang membangun dalam menangani keperluan teknologi."
"Meskipun kita mungkin tidak memiliki teknologi paling canggih, kita masih mampu mencipta pelbagai teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh banyak negara."
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China 2025 di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Liew Chin Tong berkata beberapa negara asing kini menunjukkan minat yang tinggi terhadap industri semikonduktor Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia sedang menjalankan perbincangan dengan Brazil, yang melihat potensi besar dalam industri berkenaan dan ingin meneroka peluang kerjasama.
“Banyak syarikat asing yang beroperasi di Pulau Pinang kini turut melabur di India. Justeru, India berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia kerana kita memiliki keupayaan semikonduktor yang kukuh serta ekosistem industri yang sudah mantap."
“Kita berharap dapat mencipta lebih banyak teknologi berdasarkan apa yang kita ada dan pada akhirnya melihat diri kita bukan sekadar negara perdagangan tetapi juga negara teknologi,” katanya, di sini.