GEORGE TOWN, 28 Mei- Program Jalan Amal Perpaduan yang memasuki tahun kelima penganjurannya dijangka menarik lebih 1,000 peserta.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang, Zulkhairi Zainal, program terbabit menyasarkan penyertaan aktif golongan belia sebagai peneraju perpaduan negara, selain terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
"Kita mengharapkan seramai mungkin. Kita anggarkan kira-kira 1,000 orang untuk ikut serta dalam Program Jalan Amal ini. Kita terbuka kepada semua lapisan usia.
Maksudnya, ia tidak lah susah atau penat. Tetapi, sasaran itu lebih kepada golongan belia. Mereka ini menjadi sebagai peneraju, sekali gus membuktikan komitmen mereka untuk sertai acara ini," kata Zulkhairi kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, Presiden Penang SEED, Inna Lee Yin Nah berkata inisiatif terbabit merupakan usaha murni menghimpunkan belia seluruh negeri dalam satu program selain memberi impak besar dalam menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.
"Sebenarnya, aktiviti ini adalah untuk mengumpulkan semua belia di Pulau Pinang pada satu acara. Usaha ini untuk merealisasikan kepentingan perpaduan antara golongan belia sekali gus sebagai sumbangan dalam aspek perpaduan negara," kata Inna.
Program anjuran Segi College Pulau Pinang bakal berlangsung pada 22 Jun depan.