fb fb fb fb fb

Kemudahan pelancongan Mong Gajah dijangka siap April 2026

Kemudahan pelancongan Mong Gajah dijangka siap April 2026 / Foto Datuk Mohd Salleh Saidin

PADANG TERAP, 28 Mei - Projek peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah di Tasik Pedu, di sini dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi setempat dengan pembangunan infrastruktur pelancongan yang mampan dan inklusif.

Ketika ini, projek berkenaan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak lapan peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata projek bernilai RM7 juta itu dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Projek ini berkonsepkan rekreasi terbuka dan akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti astaka serbaguna, surau, laman informasi dan pelantar laluan yang menyokong aktiviti pelancongan mampan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.

Selain itu, Menara Tinjau juga akan dibina bagi membolehkan pengunjung menikmati panorama indah sekitar Tasik Pedu.

“Apabila projek ini siap sepenuhnya, ia akan memberikan nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri Kedah dan menjadikan Tasik Pedu serta kawasan sekitarnya sebagai destinasi tumpuan pelancong.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada NCIA kerana memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pelancongan negeri ini,” tambahnya.

Projek strategik itu merupakan antara inisiatif utama bagi memperkukuhkan sektor pelancongan di negeri Kedah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN