fb fb fb fb fb

Op Khas Aidiladha: JPJ tumpu penguatkuasaan 9 kesalahan trafik utama mulai 4 Jun

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2025 bermula 4 Jun hingga 10 Jun / Foto RTM

SEREMBAN, 28 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2025 bermula 4 Jun hingga 10 Jun sebagai langkah strategik mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi yang bermula tiga hari sebelum Aidiladha itu merupakan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai bentuk penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Operasi ini bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan. Antara strategi utama yang akan dilaksanakan ialah audit operasi bas di depoh dan terminal, serta operasi khas melibatkan motosikal, kenderaan perkhidmatan awam dan barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan, di sini.

Menurutnya, tumpuan operasi akan diberikan kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kemalangan maut, iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.

Selain penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu kenderaan berat secara berterusan di lorong kanan dan memandu dengan muatan berlebihan.

Aedy Fadly turut memaklumkan, JPJ akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang menyalahgunakan lorong kanan secara berterusan, selaras dengan Kaedah 4A di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN