fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN cerminkan peranan strategik Malaysia

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

SEPANG, 28 Mei – Malaysia terus memperkukuh peranannya di pentas serantau apabila penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta siri sidang berkaitan berjaya menarik perhatian global bukan sahaja sebagai acara diplomatik, tetapi juga sebagai simbol kestabilan dan keupayaan Asia Tenggara dalam mencorak masa depan serantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kejayaan penganjuran sidang berkenaan mencerminkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah dan penggerak dialog strategik melibatkan pelbagai kuasa global.

“Alhamdulillah, saya lihat penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN, ASEAN (GCC) GCC-China telah berlangsung dengan jayanya. Rata-rata pandangan samada melalui umum ataupun media antarabangsa menunjukkan bahawa penganjuran sidang kemuncak ini berjaya, saya teliti dalam laporan termasuk dalam ekonomis yang menunjukkkan bahawa ASEAN masih memainkan satu peranan yang sangat strategic,” katanya.

Fahmi turut menyatakan bahawa sidang tersebut membuktikan keupayaan Asia Tenggara untuk terus menjadi pemain penting dalam isu-isu strategik, pelaburan dan pelancongan antarabangsa.

“Kita tahu banyak negara anggota yang mempunyai pandangan tersendiri terhadap sesuatu isu, tetapi di bawah payung ASEAN, kita dapat pastikan rantau Asia Tenggara ini kekal stabil dan menjadi destinasi bagi pelabur dan juga pelancong ,” tambah beliau.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, turut menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara rantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir semalam menghimpunkan pemimpin tertinggi Asia Tenggara bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung pada Oktober ini di Kuala Lumpur, dengan Malaysia kekal sebagai pengerusi.

Terdahulu, Fahmi hadir di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada Timbalan Perdana Menteri Oman, Sayyid Asaad Tarik al Said, serta delegasi beliau yang berlepas pulang pada pukul 2.30 petang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD