fb fb fb fb fb

Penyatuan ASEAN, GCC dan China langkah bijak hadapi dunia multipolar

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Liew Chin Tong / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerjasama antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China disifatkan sebagai langkah bijak dalam menghadapi perubahan landskap global yang kini beralih kepada sistem multipolar dan rantaian bekalan serantau.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Liew Chin Tong berkata dunia kini berdepan dengan pelbagai isu kritikal seperti bahan mineral, sumber air dan tenaga.

Justeru katanya situasi tersebut memerlukan pendekatan baharu yang lebih bersepadu, tanpa bergantung sepenuhnya kepada satu kuasa besar sahaja.

"Dunia sudah berubah, dan kita perlukan cara fikir yang berbeza. Penyatuan tiga blok ini dapat melengkapi antara satu sama lain dari segi teknologi, pembangunan dan mewujudkan pasaran serantau yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China 2025, di ibu negara.

Menurut beliau, pendekatan baharu itu penting agar negara-negara tidak terus bergantung kepada satu kuasa besar semata-mata, sebaliknya memperkukuh kerjasama rentas rantau.

Tambah Liew, walaupun ASEAN dan GCC pernah menjalin pertemuan sebelum ini, penyertaan China pada forum kali ini merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi serantau secara mampan.

“Walaupun ASEAN dan GCC telah bertemu sebelum ini, kehadiran China kali ini menjadikan kerjasama ini lebih bermakna. Perubahan ini bukan mudah, tetapi ia satu permulaan yang baik,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN