fb fb fb fb fb

PM Vietnam berlepas pulang, tiga MoU dimeterai dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Perdana Menteri Vietnam, Pham Pham Minh Chinh dan isteri berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sejak lima hari lalu

SEPANG, 28 Mei- Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berlepas pulang hari ini, selepas menamatkan lawatan rasmi lima hari ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Chinh diberikan sambutan permaidani merah bagi upacara berlepas pulang, dengan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai oleh Kapten Muhammad Nafis Norshid.

Chinh dan delegasinya berlepas dari Kompleks Bunga Raya dengan menaiki pesawat Vietnam Airlines pada pukul 1.40 tengah hari, tadi.

Turut hadir mengiringi kepulangan Chinh, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang selaku menteri pengiring bagi lawatan itu.

Sepanjang lawatan tersebut, Vietnam memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian tiga dokumen kerjasama dalam bidang tenaga, pendidikan dan integrasi serantau.

Malaysia dan Vietnam sebelum ini telah mempertingkat hubungan diplomatik mereka ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada November 2024, menandakan era baharu dalam kerjasama pelbagai sektor.

Dalam aspek ekonomi, Vietnam kini merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat dalam kalangan negara ASEAN.

Jumlah dagangan dua hala tahun lalu mencecah RM83.11 bilion, merangkumi eksport Malaysia sebanyak RM53.86 bilion dan import RM29.25 bilion.

Syarikat Malaysia juga giat melabur di Vietnam dengan lebih 700 projek bernilai kumulatif melebihi AS$13 bilion (RM55 bilion), merangkumi pelbagai industri.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir semalam menyaksikan pelbagai rundingan berprofil tinggi berlangsung termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, serta Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Penganjuran sidang tersebut mengangkat tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, sekali gus mencerminkan komitmen rantau itu dalam usaha mengukuhkan kerjasama strategik demi masa depan yang lebih sejahtera.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM