fb fb fb fb fb

Malaysia, Vietnam teroka kerjasama perkukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh / Foto RTM

BANGI, 28 Mei - Malaysia dan Vietnam kini giat meneroka pelbagai bidang kerjasama bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh memaklumkan antara bidang yang diberi tumpuan termasuk pertahanan dan keselamatan, tenaga, pendidikan dan latihan, serta sains dan teknologi.

Berucap pada Syarahan Umum yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Chinh menekankan kepentingan kerjasama dalam sektor pendidikan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai pakar. 

Sekali gus, mewujudkan rangkaian pengetahuan yang saling berkaitan antara kedua-dua negara.

Jelasnya, Kuala Lumpur dan Hanoi perlu meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak universiti dan institusi pendidikan tinggi, menerusi perkongsian penyelidikan dan inovasi untuk pembangunan bakat dan modal insan.

Chinh juga berharap agar pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UKM dengan dua universiti terkemuka di Vietnam, iaitu Universiti Hanoi dan Universiti Ho Chi Minh dapat memperkasa pembangunan dan penyelidikan.

Terdahulu, Chinh hadir ke UKM bagi menyampaikan Syarahan Umum di Dewan Kuliah Utama, Bangunan Tun Fatimah Hashim dengan diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, pada pukul 11:15 pagi.

Syarahan Umum yang disampaikan oleh Chinh antara lain menyentuh hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Vietnam yang telah terjalin sejak 1973.

Selain itu, syarahan tersebut juga menekankan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua negara bawah rangka Kerjasama Strategik Menyeluruh; iaitu tahap tertinggi hubungan diplomatik yang dimeterai pada November 2024. 

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI