GEORGE TOWN, 28 Mei- Trend mencipta kandungan media sosial ketika ibadah haji perlu dielakkan jemaah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Othman menegaskan perbuatan tersebut dianggap tidak menghormati ibrah ibadah selain jelas terpesong dari tujuan asal.
Sebaliknya, jemaah perlu menghayati erti sebenar ibadah haji berkenaan.
"Apabila kita merakam diri kita sedang beribadah, kemudian memuat naik video tersebut ke dalam media sosial. Maka, niat asal ibadah kita itu tersasar. Kita tidak khusyuk. Banyak tindakan negatif akan berlaku ketika melaksanakan ibadah haji.
Contohnya, ketika tawaf. Ada yang buat siaran langsung, ada juga yang tengah cipta kandungan. Jadi dimana tawafnya? Tawaf ini perlu niat ikhlas kepada Allah. Nak merakam untuk media sosial itu seeloknya dibuat di lain waktu," kata Datuk Profesor Madya Dr. Mohd Sukki kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menjadi tetamu Program Merungkai Fatwa, Menjejak Falak di Konti Mutiarafm, Jalan Burma, di sini.