PUTRAJAYA, 26 Mei - Umat Islam di negara ini boleh menyemak arah kiblat di kediaman dan premis masing-masing semasa fenomena Istiwa’ A’dzam yang dijangka berlaku pada pukul 5.18 petang esok (27 Mei 2024).
Bagaimanapun Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kajian Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Khairul Anuar Yazid menasihatkan orang ramai supaya tidak mengubah atau meminda sekiranya terdapat sebarang kekeliruan atau perubahan pada arah kiblat tersebut.
Ini terutamanya premis-premis awam seperti surau yang telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Mufti Negeri masing-masing, sebaliknya memaklumkan kepada pihak yang berautoriti terlebih dahulu.
"Sekiranya terdapat kekeliruan ataupun perbezaan di premis yang telah disahkan Jabatan Mufti Negeri-negeri, kita nasihatkan supaya tidak dilakukan perubahan tersebut kecuali dengan pengetahuan Jabatan Mufti Negeri-negeri, jangan ubah kiblat tersebut sebaliknya kita rujuk dahulu kepada pihak yang berautoriti iaitu Jabatan Mufti Negeri-negeri untuk kita mendapat kepastian itu bagi premis awam yang telah diukur Jabatan Mufti Negeri-negeri," kata Khairul Anuar.
Semasa fenomena Istiwa’ A’dzam, kedudukan matahari akan berada tepat di atas Kaabah yang akan menunjukkan nilai sudut istiwa’ matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah.
Arah kiblat akan dapat dilihat dengan menggunakan objek tegak dan lurus seperti tiang atau tingkap rumah.
Bayang-bayang yang terhasil akan menunjukkan arah ke Kaabah.
Tanpa arah kiblat yang betul, tidak sempurna ibadah yang dilakukan malah mempelajari tentangnya juga merupakan satu tuntutan dalam Islam .
Oleh itu, fenomena yang berlaku dua kali setahun itu adalah satu peluang untuk umat Islam menyemak arah kiblat kerana ia amat penting dalam kehidupan seharian bagi melakukan ibadah terutamanya solat.