fb fb fb fb fb

Fenomena air pasang besar, penduduk di Klang, Kuala Selangor diminta bersedia

KLANG, 11 September - Fenomena air pasang besar dijangka mula melepasi ketinggian lebih lima meter yang dikategorikan sebagai merbahaya dan boleh mengakibatkan kejadian banjir dan runtuhan ban di beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Selangor.

Tinjauan RTM bersama pasukan Bomba Pelabuhan Klang di sekitar Jeti Pulau Ketam pagi tadi mendapati, paras air laut menunjukkan peningkatan seperti jangkaan dan melimpah sedikit ke atas sebahagian jalan raya persisir.

(Tinjauan RTM mendapati, paras air laut menunjukkan peningkatan seperti jangkaan
dan melimpah sedikit ke atas sebahagian jalan raya persisir)

Berdasarkan data yang dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional pada pukul 6.46 pagi tadi, paras air laut mencatatkan bacaan 5.46 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Tuan Hafisham Mohd Noor ketika ditemui berkata situasi fenomena tersebut pada hari ini sedikit melegakan pihaknya kerana kejadian air pasang besar pagi tadi tidak bertembung dengan situasi hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian banjir.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar sentiasa peka dengan situasi dan mengikuti arahan semasa pihak berkuasa dan agensi keselamatan serta melakukan persediaan awal bagi menghadapi situasi banjir.

Media Baharu